Kerabat diRaja:

Saturday, December 1, 2012

CERITA ARTIS - Cipta sendiri lagu, tarian (Max 24:7)

Max 24:7
 
KEMUNCULAN awal mereka dipertikaikan segelintir peminat kerana dikatakan meniru fenomena Pop Korea atau lebih sinonim dengan panggilan K-Pop. Hakikatnya, kumpulan dianggotai 10 anak muda, Max 24:7 membawakan pendekatan muzik ala tempatan yang dinamakan Malaysia Pop atau M-Pop.
Kini, selepas setahun sejak ditubuhkan pada 13 Mac 2011, Max 24:7 yang dianggotai Imtiaz, Eykal, A’ar, O.B, Mierul, Virgo, Fifi, Hans, Jaq dan Kim semakin yakin mengatur langkah dalam bidang seni. Banyak perubahan yang dilalui berbanding awal kemunculan mereka.
“Pengasas kami, Aesar Mustafa banyak memberi tunjuk ajar dalam pelbagai cabang iaitu tarian, grooming, vokal dan percakapan bagi memantapkan persembahan dan penampilan kami di khalayak ramai.

“Memang semuanya perlu ambil masa untuk mendapatkan hasil terbaik. Awalnya vokal kami agak bermasalah tapi sekarang semakin baik. Begitu juga dengan tarian kami yang kaku tapi sekarang masalah ini sudah diatasi.

“Bahkan tarian pun direka sendiri oleh Mierul dan Eykal. Dulu segalanya diajar Aesar. Tapi dia nampak bakat yang ada pada kedua-dua mereka dan akhirnya beri kepercayaan pada Mierul dan Eykal untuk mencipta tarian buat Max 24:7.


“Tarian yang diperkenalkan mereka agak versatil kerana kedua-duanya rajin mengikuti perkembangan tarian baru menerusi YouTube. Mereka pun ada asas dalam tarian, sekali gus dapat memperbaiki corak tarian kami agar lebih menarik,” kata Imtiaz.

Hadir dengan lagu Cinta 24:7, Satu Cinta, Gadis dan Bunga dan Biar Putus Sementara, Max 24:7 kini selesai menghasilkan single terbaru berjudul Tiga Syarat ciptaan Aesar. Menafikan meniru lagu Tiga Kata nyanyian KRU, mereka memberitahu lagu ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Ia sememangnya lain daripada lagu KRU. Tiga Syarat sebuah lagu yang sangat ‘catchy’ dan orang akan fikir lain apabila mendengarnya. Liriknya mengetengahkan syarat yang perlu ada untuk bercinta.

“Insya-Allah kami yakin peminat akan menyukai lagu ini. Apatah lagi sebelum merakamkannya, kami ambil masa yang lama untuk berbincang dengan Aesar bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

“Dari segi populariti pula, kami sudah dikenali peminat terutamanya menerusi lagu Gadis dan Bunga yang disukai peminat. Semua peringkat umur tahu lagu ini.
Bahkan golongan pendengar lama juga teruja apabila dengar lagu yang diberi nafas baru ini,” tambah Kim pula.

Persaingan adalah lumrah dalam seni. Ketika ini, mereka dibayangi kumpulan Forteen yang lebih menyerlah menerusi lagu Berdua Bersatu. Mengulas perkara ini, Max 24:7 menjelaskan, konsep muzik yang dibawakan mereka agak berbeza.

“Forteen lebih menonjol dengan genre balada manakala Max 24:7 pula genre rancak. Kami tampil dengan tempo pantas untuk disesuaikan dengan tarian. Inilah yang membezakan antara kami.

“Bagaimanapun, lagu Biar Putus Sementara ada unsur balada kerana ia perlu untuk menarik peminat. Ketika persembahan lagu ini tetap disertai tarian yang menjadi identiti Max 24:7.

“Memandangkan kami semua berada dalam kategori remaja, kami diberi kepercayaan menjadi Duta Belia Benci Dadah oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak April lalu.

“Alhamdulillah kami banyak ‘tawaran’ dengan KBS, antaranya berpeluang buat persembahan pembukaan untuk konsert K-Pop kumpulan U-Kiss ketika Hari Belia Negara 2012 di Putrajaya, awal Jun lalu.

“Selain persembahan di khalayak ramai, kami juga kerap menerima undangan untuk majlis hari jadi, makan malam dan pertunjukan fesyen. Mungkin orang sangka bilangan anggota yang ramai sukar untuk meletakkan sebarang harga.

“Sebenarnya perkara ini boleh dirunding dengan Aesar. Malah Max 24:7 tak pernah ‘demand’ meletakkan harga tinggi kerana kami sedar masih baru dalam bidang seni. Anggota kami juga boleh bersikap tolak ansur dan tak timbul soal tamak kerana setiap hasil yang diperoleh akan dibahagikan sama rata.

“Kumpulan ini memang tiada ketua tapi kami jadikan Kim sebagai tempat rujukan memandangkan usianya lebih tua. Aesar tak nak adakan ketua kerana hendak kami berdikari selesaikan masalah sendiri.

“Justeru, kami akan sentiasa jaga disiplin dan sekiranya berlaku masalah, kami akan berbincang elok-elok untuk menyelesaikannya. Sesi ‘post mortem’ pula akan dibuat setiap kali selesai latihan,” kata Imtiaz.

Biarpun baru, Max 24:7 beruntung kerana mendapat tajaan pakaian daripada Farel Mikhail yang turut bertindak sebagai perunding imej. Ini memberi kelebihan buat mereka untuk tampil segak dan nampak seragam di mata peminat.

“Khidmatnya banyak membantu kami memilih pakaian yang sesuai. Ideanya sangat berani dan menonjolkan kami berbanding kumpulan lain,” kata Imtiaz yang memberitahu Max 24:7 turut menjual cenderahati eksklusif seperti kemeja-T dan ‘button’.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bendahari Diraja:

Pengunjung Dari Kerajaan Lain: