Kerabat diRaja:

Tuesday, December 25, 2012

BERITA TEMPATAN - Banjir Di Terengganu (13 Gambar)




Banjir di Terengganu bertambah buruk dengan enam daripada tujuh daerah dilanda bencana itu manakala Dungun mencatatkan jumlah mangsa paling ramai yang diarah berpindah.

Sehingga pukul 6.30 petang ini, seramai 975 penduduk melibatkan 249 keluarga di enam daerah berkenaan ditempatkan di 21 pusat pemindahan berbanding 144 penduduk daripada 26 keluarga yang dipindahkan di Dungun semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, jumlah mangsa banjir paling ramai adalah di Dungun iaitu seramai 317 orang daripada 80 keluarga diikuti Setiu iaitu 269 orang daripada 71 keluarga dan 171 penduduk daripada 41 keluarga di Marang.

Seramai 101 penduduk melibatkan 26 keluarga dipindahkan di daerah Besut disusuli Kuala Terengganu iaitu 91 penduduk daripada 25 keluarga dan Hulu Terengganu pula seramai 26 penduduk melibatkan enam keluarga.

Menurutnya, bagi mangsa di Dungun, 43 orang daripada sembilan keluarga kini ditempatkan di Balai Raya Batu Tiong manakala 49 orang daripada 10 keluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Serai dan 29 orang melibatkan empat keluarga ditempatkan di SK Tok Kah.

Seramai 89 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Pasir Raja dan 107 orang melibatkan 28 keluarga di SK Shukur.

Di Setiu pula, 35 orang daripada lapan keluarga dipindahkan di Surau Kampung Sungai Pinang, 36 orang daripada 10 keluarga di Dewan Sivik Langkap, 23 orang daripada tujuh keluarga di Balai Raya Desa Jaya dan 15 orang melibatkan lima keluarga di Masjid Pangkalan Merbau.

Seramai 74 orang daripada 22 keluarga di tempatkan di SK Kampung Besut, 42 orang daripada enam keluarga di Surau Kampung Padang Serai, 39 orang melibatkan 10 keluarga di Surau Gazebo, tiga orang dari satu keluarga di Balai Raya Jelapang dan dua orang di Masjid Guntong.

Bagi daerah Marang, seramai 58 orang daripada 11 keluarga ditempatkan di SMK Seri Payong manakala 113 orang melibatkan 30 keluarga di SK Bukit Gasing.

Di Besut, seramai tujuh orang daripada satu keluarga dan 94 orang daripada 25 keluarga masing-masing di tempatkan di Balai Raya Cabang Tiga Oh dan SK Anak Ikan.

Di Kuala Terengganu, seramai 91 orang melibatkan 25 keluarga ditempatkan di SK Tanjung Gelam manakala untuk daerah Hulu Terengganu, seramai 14 orang daripada tiga keluarga ditempatkan di Balai Raya Pelandan dan 12 penduduk daripada tiga keluarga di Masjid Kampung Pangkalan Ajal.

Setakat ini, hanya laluan dari Kuala Berang ke Sungai Tong iaitu di Kampung Kuala Ping dan jalan menghubungkan Jerangau-Jabor berdekatan stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Bukit Besi ditutup kepada kenderaan ringan kerana banjir.

Dalam pada itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melakukan pemotongan bekalan elektrik membabitkan 12 pencawang, 10 daripadanya di kawasan Setiu yang melibatkan lebih 400 buah rumah di tujuh buah kampung.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Ir. Md. Yuslan Mohd. Yusof berkata, dua lagi pencawang ialah di kawasan Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun yang melibatkan operasi kilang dan pam saliran.

Beliau menjelaskan, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan penduduk termasuk mengelak berlaku litar pintas.














No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bendahari Diraja:

Pengunjung Dari Kerajaan Lain: