Kerabat diRaja:

Wednesday, November 7, 2012

‘Tak kenal ayam, lempeng’


KADANG-KADANG, kita tidak sedar dan memandang rendah pada kepentingan budaya. Kita rasa ia suatu perkara yang kecil hinggakan nilai tradisi semakin luput kerana mengejar kemodenan.
Tanpa budaya dan nilai tradisi, hilanglah jati diri. Paling merisaukan, tanpa kedua-duanya, barangkali hilang juga kesetiaan kepada bangsa dan negara. 
Di zaman serba moden ini, adakah sudah terlambat untuk kita mendidik masyarakat supaya menyayangi budaya? Bagi golongan dewasa, mungkin agak sukar, tetapi bagaimana dengan generasi pelapis?

Kanak-kanak mahu belajar dan mahu mengenali. Sogoklah apa saja, mereka umpama span yang menyerap air tanpa penolakan. Apabila mereka disogokkan dengan buku dari luar negara yang berpaksikan budaya negara itu, mereka bukan saja keliru, tetapi lama kelamaan merasakan itulah perkara biasa dalam kehidupan mereka.



Dikhuatiri, bahan bacaan dan tontonan dari Barat itu menyerap dan sebati dalam diri anak sehingga mengatasi apa yang sepatutnya mereka kenali iaitu budaya mereka sendiri.


Berkesempatan bertemu wanita ini walaupun tidak lama, membawa kami bersembang agak santai mengenai budaya dan tradisi yang semakin dilupakan.

“Budak-budak sekarang tak kenal ayam sebaliknya drumstick. Tidak lagi mengenali lempeng sebaliknya penkek.” Itu antara kata-kata penyelidik dan perunding seni budaya warisan Melayu, Dr Siti Zainon Ismail, yang berbekas di hati penulis.

Betapa benarnya kata-kata itu. Sekarang, penkek di restoran makanan segera atau penkek yang dijual di pasar raya menjadi sesuatu yang biasa disaji ibu kepada anak mereka. Suruh membuat lempeng, ramai ibu zaman sekarang yang menggelengkan kepala kerana tidak tahu membuatnya.

Penulis menyelak helaian demi helaian buah tangan terbaru Siti Zainon yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara. Menggunakan kertas akhbar yang kekuningan, buku itu tampil ringan, klasik dan tersendiri.

“Saya sendiri mahukan kertas ini digunakan kerana ia ringan. Bawa 10 buku pun masih mampu mengangkatnya kerana ia ringan,” katanya.

Kebanyakan penerbit sekarang tidak mahu menggunakan kertas ini kerana mereka mahukan kertas berwarna putih melepak walaupun kesannya, buku menjadi berat.

Mengapa baru sekarang Siti Zainon memasukkan dirinya ke dalam dunia kanak-kanak dengan menghasilkan buku cerita berpuisi yang bertajuk Bijak Si Katak Bijak?

Rupa-rupanya Siti Zainon seperti kebanyakan kita yang risau pada lambakan produk import untuk kanak-kanak yang sangat popular sehingga meminggirkan budaya sendiri. Walhal, sastera negara ini sangat banyak dan wajar dikomersialkan supaya menarik minat membaca masyarakat.

“Ini pengalaman pertama saya membuat buku kanak-kanak. Orang bertanya, kenapa menggunakan katak? Sebenarnya kita sering disogokkan mengenai keburukan katak termasuk katak hodoh, katak di bawah tempurung dan pelbagai lagi,” katanya.

Memori masa kecil banyak menyumbang kepada alasan Siti Zainon memilih katak iaitu ketika dia tinggal bersama neneknya.

“Saya teringat kata-kata nenek, katak sebenarnya bijak dan pandai melindungi diri. Ia masuk ke dalam air bukan hanya mahu berlindung, tetapi membersihkan diri,” katanya.

Di dalam buku cerita berpuisi Bijak si Katak Bijak, pemenang Anugerah SEA Write itu menampilkan imej katak yang bijak, rajin dan berbudaya. Antaranya budaya silat, menyulam, masakan tradisi dan tulisan jawi.

Ia disiapkan dalam masa setahun yang menurut Siti Zainon, itu hasil pengalaman 30 tahunnya di bidang pengkajian budaya.

“Saya menampilkan unsur pendidikan, kerja harian dan budaya. Saya letakkan katak itu sebagai katak yang comel dan bersahabat. Ia bersahabat dengan kucing, penyu, rama-rama dan binatang lain. Apa yang penting, saya Melayukan si katak dengan memakaikannya baju Melayu dan itulah imej sopan yang mahu saya tonjolkan,” katanya.

Buku ini menggabungkan puisi sesuai dengan kanak-kanak yang mempunyai sejarah dan budaya kita manakala ilustrasinya dihasilkan Siti Zainon sendiri.

“Saya juga mempromosikan tulisan jawi dengan harapan tulisan itu dikenali semula oleh generasi muda sekarang. Ini ialah produk Melayu,” katanya.

Siti Zainon berharap, watak katak yang diperkenalkannya mengatasi watak katak yang satu lagi iaitu Prince Charming. Ia hasilan Barat yang tidak perlu diagungkan begitu hebat dan tinggi seperti yang terjadi sekarang.

“Apabila saya katakan pada khalayak, katak adalah bijak selalunya orang bertanya kembali, adakah saya pasti? Banyak kelebihan katak yang selama ini kita pinggirkan kerana ramai yang geli melihat katak.

“Katak menggembur tanah dan penting kepada petani. Ia juga membersih kolam jadi katak banyak kelebihannya,” katanya.

Siti Zainon berharap, produk katak yang dibangunkannya itu dikenali dan dikomersialkan.

“Produk katak saya ini boleh dikongsi oleh penggiat seni lain untuk dikomersialkan seperti boleh dijadikan teater muzikal atau jenama. Sekarang pun kami sudah menjenamakan sudut cenderahati seperti pen, lencana dan buku nota dengan jenama Bijak Si Katak Bijak,” katanya.

Di dalam buku ini, mana satu yang paling disukai Siti Zainon? “Puisi yang bertajuk Nenek Menyulam.” katanya.

Melihat puisi itu sendiri, ia sangat ringkas, tetapi menarik dan padat dengan peringatan pada sesuatu yang semakin kita lupakan kini iaitu budaya menyulam.


Nenek Menyulam

Nenek pandai menyulam
kain direnggang dengan ram
lakar bunga atas kain
jarum dan benang ditusuk perlahan
bunga mawar pun kembang
hias sapu tangan indah
menawan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bendahari Diraja:

Pengunjung Dari Kerajaan Lain: