Kerabat diRaja:

Tuesday, November 13, 2012

Snek mampu tambah tenaga


MAKANAN ringan atau snek merujuk kepada hidangan yang diambil di antara waktu makan utama. Biasanya makanan mudah yang hanya memerlukan masa dan usaha yang sedikit untuk disediakan sama ada sejuk atau panas termasuk dalam kategori ini. Bagaimanapun, ia sering dikaitkan dengan hidangan tidak berkhasiat dan memudaratkan.
Namun tidak semua snek membawa kesan buruk kepada kesihatan. Sebenarnya ia bergantung kepada jenis makanan dan cara penyediaannya. Pengambilan snek berkhasiat boleh menambah vitamin, mineral dan nutrien diperlukan tubuh.
Selain itu, mengambil snek yang baik di dalam masa bersesuaian, boleh menambah tenaga. Tetapi pastikan snek diambil sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu makan utama. Ini kerana pengambilan di antara waktu makan boleh menyebabkan berat badan meningkat dan mengganggu pola pemakanan harian.

Setiap individu boleh memilih snek yang diinginkan sama ada berkhasiat atau sebaliknya. Bagi mendapat khasiat dalam pengambilan snek, pilih makanan rendah lemak, gula dan garam serta daripada kumpulan karbohidrat kompleks serta tinggi serat, vitamin dan mineral.

Dengan merancang pemakanan harian mengikut panduan piramid, ia membantu mengimbangkan hidangan setiap hari. Bagi mengurangkan pengambilan yang agak keterlaluan, snek seharusnya diambil apabila anda lapar dan bukannya ketika bosan atau gelisah. Hadkan hidangan snek kurang daripada 250 kalori setiap kali.

Selain pertambahan berat badan, kekerapan mengambil makanan ringan yang tinggi kandungan gula akan menggalakkan kerosakan gigi. Bagi mencegahnya amalkan teknik memberus gigi berkesan dan berkumur setiap kali selepas makan makanan ringan. Dapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.

Ibu bapa seharusnya melatih anak-anak untuk makan coklat atau gula-gula ketika waktu makan utama bagi menjaga kebersihan gigi. Selain itu, kurangkan jumlah dan kekerapan pengambilan makanan snek atau minuman yang tinggi kandungan gula.
Baca label makanan semasa membeli barang keperluan dapur. Pastikan makanan
dibeli kurang kandungan madu, sirap jagung, glukosa dan sirap pekat kerana semuanya adalah gula.


Makanan ringan menyihatkan


Kacang tanah

Segenggam kacang tanah rebus, badam atau pelbagai jenis kacang tidak akan menggemukkan. Kacang tanah mengandungi zat besi, vitamin E, kalsium, vitamin B kompleks, fosforus dan kandungan protein yang tinggi. Ia bukan saja dapat mengalas perut yang berkeroncong, malah makan segenggam kacang tanah setiap hari terutama bagi pesakit kencing manis akan dapat membantu kekurangan zat di dalam badan.


Telur

Telur sering dikaitkan dengan kegemukan kerana mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi. Bagaimanapun, jika kita bijak mengolah hidangan berasaskan telur, ia akan menjadi hidangan yang sihat kerana manfaat telur lebih banyak berbanding kandungan kolesterolnya. Ia bukan saja kaya dengan vitamin serta mineral malah mengandungi sumber protein yang tinggi dan boleh membuat kita berasa kenyang dengan lebih lama.


Avokado

Avokado adalah buah sihat yang kaya dengan lemak tidak tepu dan boleh mengurangkan kandungan kolesterol di dalam badan. Mengambil avokado setiap hari selama sebulan boleh membantu menurunkan berat badan dan mencapai tahap kolesterol yang rendah. Selain disediakan dalam bentuk jus atau salad, avokado juga enak dijadikan inti sandwic atau dimakan bersama sushi.


Susu

Susu sememangnya mempunyai pelbagai khasiat. Selain kaya dengan zat besi, fosforus dan kalium, ia juga mengandungi lebih banyak kalsium, vitamin A, tiamina, niasin dan riboflavin yang dapat meningkatkan kekuatan tulang dan mencegah osteoporosis.


Cendawan

Cendawan adalah makanan rendah kalori dan mengandungi banyak serat yang boleh membuat kita berasa lebih kenyang dengan lebih lama. Ia bukan saja mampu merendahkan paras kolesterol dan tekanan darah, malah dapat meningkatkan sistem ketahanan badan. Makan semangkuk sup cendawan lebih elok berbanding mengunyah sepotong piza atau sepinggan mi segera.


Roti gandum

Bagi mereka yang sedang mengamalkan diet, pengambilan nasi sebagai makanan ruji boleh diganti dengan roti gandum kerana roti mempunyai kelebihannya tersendiri.
Roti gandum yang dihasilkan daripada bijian penuh adalah hidangan ringan yang kaya dengan vitamin B kompleks, serat, vitamin E, zat besi, zink, asid folat dan antioksidan yang memberikan rasa kenyang lebih lama.

Selain itu, anda digalakkan untuk memilih snek berkhasiat yang kurang kandungan lemak dan gula, contohnya buah-buahan, sandwic, jagung rebus dan biskut. Untuk minuman penghilang dahaga pilih air kosong, jus buah dan sayur tanpa tambahan gula serta susu segar.


Bagi buah-buahan pula 

pilih jambu batu, tembikai susu dan tembikai. Jika lapar tukar gula-gula, burger, kentang goreng dan ais krim kepada sandwic tuna atau telur, popia basah, dadih, biskut atau roti tawar, bijirin dan capati sebagai snek.

Bagi ibu bapa, jangan jadikan makanan segera atau makanan ringan sebagai ganjaran untuk kanak-kanak melakukan sesuatu, sebaliknya sediakan buah-buahan
sebagai makanan ringan di rumah bagi mengelakkan mereka memilih makanan yang tidak berkhasiat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bendahari Diraja:

Pengunjung Dari Kerajaan Lain: