Kerabat diRaja:

Friday, November 30, 2012

CERITA ARTIS - Umie bantu rakyat Palestin


PRIHATIN dengan kesengsaraan ditanggung rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis di Semenanjung Gaza, World Islamic Network Television selaku penerbit pementasan Tribute Teater Dr Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan terpanggil untuk membantu meringankan beban yang ditanggung masyarakat Islam yang yang tidak berdosa di sana.

Penerbit Eksekutifnya, Datin Paduka Umie Aida berkata, pihaknya sepakat untuk menyalurkan semua hasil kutipan jualan tiket pada malam ini khusus untuk mengisi dana bagi membantu Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin berkenaan. 


“Saya memang sudah lama berhasrat untuk membantu mereka sejak dulu lagi. 
Maklumlah, saya pernah menyaksikan sendiri penderitaan golongan wanita dan kanak-kanak ketika menjayakan penggambaran filem Qais & Laila di sempadan Afghanistan dulu. 


“Hasrat murni saya memang disambut baik suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, pengarah pementasan ini, Erma Fatima dan pihak Istana Budaya (IB) sendiri. Malah, semua barisan pelakon dan kru produksi juga menyokong hasrat ini, sekali gus mengikuti perkembangan di sana setiap hari sama ada yang disiarkan di media cetak mahupun elektronik,” katanya. 

Bagaimanapun, Umie tidak meletakkan sebarang sasaran mengenai jumlah kutipan pada malam pementasan amal berkenaan. 

“Mungkin jumlah kutipan itu tidak seberapa berbanding penderitaan dan kemusnahan negara berkenaan tapi sekurang-kurangnya ia mampu meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka. 

“Justeru, saya sangat berharap semoga peminat teater di luar sana terutama yang masih belum berpeluang menonton pementasan ini tidak melepaskan peluang keemasan berhibur sambil menderma, sekali gus membantu mereka yang memerlukan di luar sana,” katanya. 

Pementasan Tribute Teater Dr Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan selama dua jam mendapat sambutan sangat menggalakkan ketika dipentaskan dari 9 hingga 19 November lalu di Panggung Sari, IB. 

Justeru, bagi memenuhi permintaan ramai dan sempena Perhimpunan Agung Umno 2012, pementasan ini disambung semula pada 29 November hingga 3 Disember ini. 

Menyentuh mengenai pemilihan Miera Liyana menggantikan aktres Lisa Surihani yang ada komitmen lain, Umie mengakui, dia percaya pendatang baru di persada hiburan itu mampu menjiwai watak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ketika muda dengan baik. 

Pemilihan Miera turut merungkai persoalan pelakon yang bakal menjayakan watak itu kerana sebelum ini beberapa nama besar disebut bakal menggantikan tempat Lisa iaitu Erra Fazira, Tiz Zaqyah, Nora Danish dan Ummi Nazeera. 

“Sebenarnya, Erma yang memilih Miera untuk memegang watak itu menerusi uji bakat diadakan. Saya pula hanya dapat tahu mengenai pemilihan Miera selepas kembali dari Sabah, baru-baru ini. 

“Pada pandangan saya, Miera seorang pelakon yang berani untuk mencuba sesuatu yang baru buatnya. Bayangkan ia kali pertama dia beraksi di pentas teater tapi dalam masa sehari saja dia sudah menghafal dialog dengan baik seperti diharapkan. Selepas dua hari, barulah dia belajar ‘blocking’ dan menari pula. 

“Bagi pementasan semula ini, Miera hanya akan melakonkan watak Dr Siti Hasmah ketika muda selama tiga hari, manakala, selebihnya masih digalas Lisa sehingga pementasan semula ini berakhir nanti,” katanya. 

Barisan pelakon lain masih dikekalkan dalam pementasan ini. Pementasan ini menampilkan lakonan mantap Esma Daniel, Siti Shahrizah (Eja), Lisa Surihani, Nazim Othman, Azizah Mahzan, Syanie Hashim dan Radhi Khalid. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bendahari Diraja:

Pengunjung Dari Kerajaan Lain: