Kerabat diRaja:

Friday, November 30, 2012

CERITA ARTIS - Debaran Aznil Berakhir




ASSALAMUALAIKUM, selesai sudah tanggungjawab mengacara Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19) Sabtu lalu bersama Adibah Noor. Daripada respon dan komen ramai, alhamdulillah, usaha kami untuk menghiburkan penonton pada malam itu diterima ramai.

Gusar juga seandainya gabungan kami ini tidak menjadi dan gagal. Kami sedar sejak nama kami diumumkan sebagai pengacara bersama untuk acara gilang gemilang ini, pelbagai harapan diletakkan di bahu kami. Tidak kurang yang skeptikal terhadap perancangan dan pembaharuan yang ingin kami bawa pada majlis itu. Namun seperti apa yang Pak Nil pernah katakan, kita kena berani cuba dan jika tidak menjadi, kita kena bangun dan terus mencuba sesuatu yang baru.


Pada awal perbincangan lagi, Pak Nil perkenalkan satu format yang tidak mahu membiarkan penyampai anugerah diasingkan daripada pengacara. Yang sering berlaku sebelum ini, pengacara hanya memperkenalkan penyampai anugerah. Penyampai anugerah pula akan meneruskan acara dengan bualan kosong sebelum mengumumkan calon dan pemenang. Sering kali juga kita dapat lihat penyampai anugerah kekeringan idea dan mula bercakap perkara yang tiada kena-mengena dengan acara seperti bertanya khabar, promosi filem atau album, memberi kredit kepada penaja pakaian dan percubaan membuat lawak tetapi gagal. Melihat kejadian ini, Pak Nil terfikir akan satu cara untuk mengelakkan perkara ini berlaku dengan berinteraksi bersama sebelum memperkenalkan calon bertanding. Format ini tidak mengasingkan penyampai anugerah daripada pengacara. Syukur format yang Pak Nil perkenalkan diguna pakai dan akhirnya tampak berkesan. Penyampai anugerah lebih rasa selesa, tidak tandus topik, dapat bergurau dengan lebih santai dan kami lebih senang mengawal masa. Secara keseluruhan, majlis kali ini dapat dilangsungkan mengikut jumlah masa diperuntukkan. Jika majlis terlanjur masa, kami akan bertindak mempercepatkan perjalanan acara dan begitu juga sebaliknya.



Berdasarkan rekod yang sudah-sudah juga, kita sering lihat suasana sejuk berlaku apabila tiba giliran penyampai anugerah kerana kebanyakannya seperti tidak bersedia untuk melunaskan tanggungjawab. Berbeza dengan penyampai anugerah di luar negara seperti Anugerah Academy, Golden Globe dan MTV, penyampai anugerah kita tidak ramai yang mahu datang untuk acara raptai pada malam sebelumnya. Kebanyakannya hanya mendapat arahan dan skrip beberapa jam sebelum kemunculan di pentas. Akhirnya, banyak perkara pelik, merah muka dan kekeliruan berlaku. Akhirnya majlis dirancang menjadi cela. Melihat cara orang kita bekerja, Pak Nil syorkan agar majlis anugerah di negara kita menggunakan kaedah yang Pak Nil perkenalkan ini. Kita tidak lagi membiarkan penyampai meneruskan acara secara berasingan daripada pengacara. Pengacara masih bertindak mengawal keadaan dengan cepat seandainya keadaan mula meleret-leret atau menjadi kaku. Cara ini adalah alternatif terbaik di sini selagi personaliti negara kita masih memandang ringan terhadap tugas menyampaikan anugerah.


Pak Nil cukup kagum dengan kesungguhan penyampai anugerah seperti Kilafairy, Nora Danish, Wann, Nadia, Catt Farish, Krista Kleiner dan beberapa selebriti lain yang sanggup muncul di malam raptai dan tunggu berjam-jam sebelum tiba giliran mereka. Akhirnya terbukti mereka kelihatan lebih bersedia di pentas dan tidak melalut. Mereka juga faham akan konsep yang kami guna pakai dan turut serta dengan cara santai itu.



Sebenarnya Pak Nil amat berdebar menjelang majlis anugerah itu kerana sudah agak lama tidak muncul sebagai pengacara majlis sebegini. Kali terakhir ketika mengacarakan Anugerah Planet Muzik di Indonesia beberapa tahun lalu. Sememangnya majlis yang berlangsung hampir tiga jam ini memerlukan kesungguhan dalam persiapan. Disebabkan Pak Nil berada di Cape Town, Afrika Selatan 10 hari sebelum AIM, hari latihan bersama Adibah menjadi kurang. Sekembali ke tanah air, Pak Nil terpaksa membuat pertemuan dengan Adibah secara berturutan memandangkan siaran langsung hampir dekat. Nasib baik Adibah merupakan pengacara yang tenang dan tidak menggelabah. Jadi, Pak Nil turut dapat menenteramkan perasaan dan bersama-sama membentuk perlakuan dan skrip untuk malam itu.




Untuk pengetahuan semua, sebenarnya sehingga saat akhir, kami masih lagi berusaha merombak skrip agar tampak lebih bersahaja dan menghiburkan. Adibah sendiri tidak kering idea spontan yang membuatkan Pak Nil ketawa terbahak-bahak. Istimewa betul bakat Adibah ini. Kalau anda perasan, sudah agak lama Pak Nil tidak mempunyai pasangan pengacara dalam program yang Pak Nil kendalikan. Sejak meneraju Akademi Fantasia pada 2003, sebenarnya Pak Nil lebih selesa bekerja secara solo. Namun, apabila dapat bekerja dengan Adibah, senario itu mula bertukar. Adibah bersedia berkongsi tanggungjawab demi kelancaran majlis. Adibah juga tidak gelojoh merebut peluang bercakap sehingga kami kelihatan sangat serasi dan tidak bersaing.


Kebiasaannya beberapa jam sebelum acara bermula, Pak Nil akan bersiar-siar di sekitar pentas, bilik mekap dan menjengok rakan-rakan artis yang lain. Sempat belajar bermain Instagram dengan Awal Ashaari lagi! Itu adalah antara cara Pak Nil hilangkan rasa debar. Bila Pak Nil menjenguk Adibah di biliknya, dia juga agak berdebar. Baru Pak Nil tahu Adibah mempunyai perangai pelik bila berdebar. Rupa-rupanya, debaran dilaluinya turut mengganggu sistem penghadamannya sehingga terpaksa mengunjungi ‘bilik kecil’ sekerap 6 hingga 7 kali! Oops! Maaf Adibah! Terbuka pula rahsia unik Adibah ini! I’m sorry! Wassalam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bendahari Diraja:

Pengunjung Dari Kerajaan Lain: